Sinar Harian
PENYERANG sensasi Sabah, Rozaimi Abdul Rahman mengakui dirinya kecewa apabila tidak dapat beraksi menjelang aksi Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala SCTV menentang skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Indonesia di Gelora Bung Karno, Jakarta malam esok.
Bagaimanapun tegasnya, hasrat untuk melihat rakan-rakan beraksi dan mencipta kemenangan tetap membara meskipun tidak dapat beraksi.
"Tidak dinafikan saya kecewa kerana tidak dapat beraksi pada perlawanan itu.
"Tapi saya masih boleh memberikan kata-kata semangat kepada rakan sepasukan untuk mencatat kemenangan.
“Andai tidak berada dalam senarai pasukan pada perlawanan itu, saya tetap mendoakan kejayaan pasukan dan berharap mereka mampu memberikan yang terbaik biarpun terpaksa beraksi di depan ribuan penyokong Indonesia," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Rozaimi berkata demikian ketika diminta mengulas perasaannya apabila beliau berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat beraksi buat kali pertama di stadium keramat itu gara-gara ibu jari kakinya didapati bengkak selepas membantu Selangor menewaskan Pahang 4-1 dalam kempen Piala Malaysia, Selasa lalu.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai prestasinya sekarang berbanding semasa meledak 10 gol bersama Harimau Muda dalam aksi kelayakan Piala AFC B-22 di Myanmar, Jun lalu,
Rozaimi melahirkan rasa tidak puas hati dan menganggap masih banyak yang perlu diperbaiki untuk membolehkan beliau berada dalam landasan yang sebenar.
"Saya masih belum berpuas hati, bagi saya masih banyak yang perlu diperbaiki biarpun berjaya menamatkan kemarau gol bersama Selangor.
"Jadi, saya berharap dapat segera pulih daripada kecederaan dan berusaha untuk mendapat semula sentuhan penyudah seperti mana di Myanmar tempoh hari bagi membantu Selangor meraih gelaran kali ke-33 dalam Piala Malaysia," katanya lagi.