Kosmo!
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
ROZAIMI belum pasti dapat beraksi pada Piala SCTV di Indonesia hari ini gara-gara kecederaan.
HANYA doa mampu diungkapkan peledak muda negara, Rozaimi Abdul Rahman bagi mengiringi perjuangan Harimau Muda menjelang aksi Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala SCTV menentang skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Indonesia di Gelora Bung Karno, Jakarta malam esok.
Biarpun tetap disenaraikan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee ke Jakarta, Rozaimi, 20, berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat beraksi buat kali pertama di stadium keramat itu gara-gara ibu jari kakinya didapati bengkak selepas membantu Selangor menewaskan Pahang 4-1 dalam kempen Piala Malaysia, Selasa lalu.
Sebelum ini, Rozaimi juga tiada dalam senarai skuad Kim Swee ketika mempertahankan emas temasya Sukan SEA di stadium yang sama tahun lalu.
Justeru, katanya, dia berharap rakan-rakan sepasukannya mampu mengulangi kejayaan malam esok biarpun ia sekadar satu kejohanan jemputan.
"Sudah tentu saya kecewa (tidak dapat beraksi), tetapi inilah asam garam pemain bola sepak.
"Jadi, saya harap rakan-rakan sepasukan mampu memberikan yang terbaik biarpun terpaksa beraksi di depan ribuan penyokong Indonesia," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo!
Dengan ketiadaan Rozaimi, jentera penyudah Harimau Muda dijangka digalas oleh Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri malam esok.
Selain Rozaimi, tiga lagi pemain iaitu Fandi Othman, Azrif Nasrulhaq Badrul dan Ashri Chuchu juga dilaporkan mengalami kecederaan sementara lima lagi pemain iaitu Mahalli Jasulli, Mohd. Fadli Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor, Gary Steven Robbat dan Zubir Azmi juga diketepikan Kim Swee kali ini kerana dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan menentang Vietnam di Stadium Shah Alam, Selasa minggu depan.
Ia merupakan aksi tunggal Harimau Muda dalam kejohanan Piala SCTV itu nanti, sementara satu lagi aksi kejohanan membabitkan pertemuan antara skuad kebangsaan Indonesia dan Korea Utara juga berlangsung di stadium yang sama sehari kemudian.
Dalam pada itu, Rozaimi mengakui prestasinya masih di bawah tahap sebenar ketika ini berbanding semasa meledak 10 gol bersama Harimau Muda dalam aksi kelayakan Piala AFC B-22 di Myanmar, Jun lalu.
"Saya masih belum berpuas hati, bagi saya masih banyak yang perlu diperbaiki (biarpun berjaya menamatkan kemarau gol bersama Selangor tempoh hari). Saya pun tidak tahu mengapa (gagal mencetak gol buat Selangor sebelum ini), namun saya gembira kerana ia mengembalikan semula keyakinan saya.
"Jadi, saya harap dapat segera pulih daripada kecederaan dan mahu mendapat semula sentuhan penyudah seperti mana di Myanmar tempoh hari. Sebagai penyerang, tugas saya ialah untuk menjaringkan gol dan itulah yang akan saya lakukan," katanya optimis.