Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Tuesday, August 14, 2012

Rozaimi-Misi raih piala ke-33

myMetro
Oleh Aziman Rosdi 
aziman@hmetro.com.my 

 JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berharap penyerang Rozaimi Abd Rahman yang dipinjam dari Sabah dapat menyesuaikan diri dengan cepat untuk membantu merealisasikan Misi 33 Piala Malaysia kali ini. Pemain berusia 19 tahun itu hanya sempat berlatih sekali bersama skuad Gergasi Merah sebelum dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan kendalian ketua jurulatih Datuk K Rajagobal ke Eropah.

 Bagi Irfan, beliau menyandarkan harapan kepada Rozaimi untuk menghidupkan bahagian serangan selepas kehilangan kapten, Mohd Amri Yahyah yang digantung tiga perlawanan. “Ketiadaan Amri memberi kesan kepada bahagian serangan dan saya harap Rozaimi mengambil alih tempatnya. Tapi Rozaimi hanya sempat berlatih sekali bersama Selangor.

 “Saya yakini kebolehannya dan berharap dia boleh menyesuaikan diri dengan permainan Selangor apabila beraksi di perlawanan sebenar,” katanya. Amri digantung tiga perlawanan dan denda RM1,500 atas kesalahan mengasari pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar dalam aksi Liga Super Jun lalu. Turut menerima nasib sama, pertahanan Bunyamin Umar.

 Jelas Irfan, meskipun ketiadaan Rozaimi, Norazlan Razali, Safiq Rahim dan Bunyamin yang mengikuti latihan Harimau Malaya, mereka tetap melakukan persiapan rapi dengan mengadakan beberapa siri latihan persahabatan. Dalam perlawanan sebelum ini, mereka menewaskan Johor FC 1-0 dan seri 1-1 dengan Kedah sebelum mengharungi dua lagi perlawanan menentang Felda United malam ini dan Sime Darby (Khamis).

 Mengulas ‘episod kedua’ Misi 33 selepas gagal tahun lalu, Irfan menegaskan misi itu tidak mustahil kali ini namun beliau lebih suka mengambil pendekatan berhati-hati. “Misi ini bukan mustahil tapi biarlah kami fokus kepada sasaran ke suku akhir terlebih dulu,” katanya. Selangor akan memulakan kempen Piala Malaysia menentang Sarawak di Stadium Negeri pada 22 Ogos sebelum berdepan T-Team dan Pahang dalam Kumpulan D.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...