Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Monday, January 25, 2016

IMBAS KEMBALI: "SABAH JUARA PIALA FA 1995!"


21 tahun yang lalu, 8hb April 1995, Sabah, di bawah kendalian jurulatih Kelly Tham bertemu dengan pasukan Pahang kendalian jurulatih muda, Yunus Alif bagi menentukan juara Piala FA. Kedua-dua pasukan belum pernah menjulang piala ini.
Sabah menewaskan pasukan Selangor, dan Pahang menewaskan pasukan Johor pada perlawanan separuh akhir.
Ini merupakan kali ke-3 Sabah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.
Namun,pada tahun:
1993, Sabah tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur.
1994, Sekali lagi, Sabah kecundang kepada Kuala Lumpur dengan jaringan 1-3.
Seminggu sebelum perlawanan, Sabah membuat permohonan supaya perlawanan akhir diadakan di Negeri Bawah Bayu. Namun terpaksa akur dengan keputusan FAM yang memilih Stadium Merdeka sebagai venue.
Jarak bukanlah penghalang bagi ribuan penyokong Sabah yang membanjiri hampir separuh Stadium Merdeka (Kapasiti: 30,000).
"Kita seperti berada di LIKAS!" kata pengulas perlawanan yang turut disiarkan secara langsung oleh RTM. Perlawanan turut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Salleh Tun Said dan jemaah menteri yang lain.
Perlawanan ini diadili Nik Ahmad Yaakob dari Kelantan.
Kesebelasan utama
SABAH
1. Khairul Azman Mohamed
2. Ong Kim Swee
3. Gerard Mojiliu
4. Veselin Kovasevic
5. Junaidy Tuah
6. G. Raveychandran
7. Jainin Tinin
8. Yap Wai Loon
9. Milomir Seslija
10. Matlan Marjan
11. Scott Ollerenshaw
PAHANG
1. Muadzar Mohamed
2. Azaruddin Aziz
3. Alan Davidson
4. Raizuwah Idris
5. Ahmad Yusof
6. Zulhamizan Zakaria
7. Azizul Kamaluddin
8. Gus Cerro
9. Zainal Abidin Hassan
10. Dollah Salleh
11. Igor Shkvyrin
Perlawanan malam ini bukan hanya sekadar perebutan piala, tetapi turut melibatkan persaingan individu.
~Penjaga Gol No.1 Malaysia~
Khairul Azman Mohamed memulakan karier professional bersama Pahang pada tahun 1986.
Manakala Mudzar Mohamad pula bermula setahun lebih awal. Namun begitu, jurulatih Pahang nampaknya berminat menggunakan khidmat Khairul yang dilihat lebih tangkas.
Khairul turut dipilih menjaga gawang skuad kebangsaan oleh Claude Le Roy.
Mudzar hanya mampu melihat kejayaan demi kejayaan Khairul yang dinobatkan 'Penjaga Gol Terbaik Asia', dari bangku simpanan.
Sebaik Khairul mengumumkan pemindahan mengejutnya ke Sabah, Mudzar akhirnya menyarung "Jersi No. 1."
Selepas menjadi pilihan utama Pahang, Mudzar mula mendapat panggilan untuk menjalani latihan bersama Skuad Kebangsaan.
Namun, masih lagi pilihan kedua selepas Khairul.
~Pemain Olimpik Australia~
Scott Ollerenshaw dan Alan Davidson mewakili Australia pada Temasya Olimpik 1988 di Seoul.
Australia ketika itu berjaya layak sehigga ke peringkat Suku Akhir sebelum ditewaskan Soviet Union 0-3.
~Penyerang No.1 Malaysia~
Siapa tidak kenal gandingan mantap Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh dari tahun 80-an hingga 90-an.
Mereka berganding ketika mewakili Selangor, Pahang dan Skuad Negara. 8 trofi domestik berjaya diraih duo ini.
Ramai yang membandingkan kehebatan mereka dengan Hassan Sani dan James Wong.
Matlan Marjan juga tidak kurang hebatnya. Pemain kelahiran Kota Belud ini, mula mewakili Malaysia pada 1991 dan menjaring 2 gol Malaysia sewaktu menentang England ketika debutnya.
-------------------------------------------------------
Separuh Masa Pertama
Permainan bermula rancak sebaik wisel sepak mula oleh pengadil dari Kelantan.
Sabah lebih banyak menguasai perlawanan dan melakukan serangan-serangan berbahaya, dan Pahang juga banyak melakukan hantaran bola jauh serta 'Counter Attack' yang mencemaskan penyokong Badak.
Hantaran berbahaya Ollerenshaw kepada Matlan pada minit ke-10 berjaya dihalang Davidson yang terpaksa turun ke bawah membantu barisan pertahanan.
Pahang terus melakukan serangan balas melalui midfielder dari Argentina, Gus Cerro yang berjaya melepaskan percubaan yang terkena tangan Khairul namun hampir masuk ke gawang. Mujur, Junaidy Tuah menyelamatkan keadaan dengan melakukan clearance.
Permainan rancak terus berlangsung dengan Sabah mendapat 5 sepakan penjuru dan 3 Freekick, manakala Pahang melancarkan 2 percubaan set piece yang berbahaya.
Minit ke-36, perlawanan sedikit panas apabila Midfielder dari Bosnia, Milomir Seslija terpaksa menjatuhkan Cerro bagi menghalang serangan Pahang. Pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad kuning yang pertama malam itu.


Berbaki 5 minit separuh masa, perlawanan seperti akan berakhir tanpa jaringan.
Minit ke-42, lontaran lintang Seslija berjaya ditanduk padu oleh Matlan ke gawang Pahang. Namun, Mudzar berjaya melontarkan badan. Dan Matlan mengutip bola muntah dan melakukan rembatan! Sekali lagi berjaya ditepis penjaga gol.
Pahang terselamat.
Minit ke-44, Ollerenshaw yang lebih bertindak sebagai feeder kepada Matlan, berjaya membuat lorongan. Matlan mengejar pantas bola tersebut melepasi larian Davidson dan Raizuwah Idris. Mudzar terpaksa keluar dari gol pos untuk menghalang kapten Sabah itu. Tindakan Mudzar ternyata silap apabila Matlan dengan mudah melakukan 'Chip' membawa bola masuk ke gawang yang tidak dikawal.
GOOOOOOOOOOOOOLLLLLLLLLLLL!!! GOOOOOOOOOOLLLLLLL!!! MATLAN GOOLLLLLLLLLLLLLLL!!!
MATLAN!!!
Stadium Merdeka bergegar dengan sorakan penyokong Sabah yang bersama menyambut gol pertama tersebut. Sehinggakan, tiupan wisel penamat separuh masa langsung tidak dapat didengari pemain.
Tamat Separuh Masa:
SABAH 1-0 PAHANG
SAB Gol- Matlan Marjan (Min-44)

Separuh masa kedua
Selepas tempoh 15 minit rehat tamat, kedua-dua pasukan kembali masuk ke padang.
Sorakan penyokong Sabah masih belum putus. Nampaknya mereka belum 'kenyang' dengan hidangan 1 gol oleh Matlan.
Pahang terus menyerang untuk menyamakan kedudukan, namun gandingan Dollah dan Igor, belum mampu menembusi benteng pertahanan Sabah.
Coach Yunus Alif melakukan pertukaran taktik dengan memasukkan Shahrudin Rosdi menggantikan Azizul Kamaluddin bagi memantapkan serangan.
Minit ke-58, Matlan membuat percubaan ke arah gawang Pahang dari luar kotak penalti. Sepakan kaki kiri rendah Matlan berjaya ditepis Mudzar.
Pertahanan Pahang hanya mampu melihat apabila bola muntah, pantas disambar Ollerenshaw yang tiba-tiba muncul merembat padu ke gawang Pahang. GOOOOOOOOLLLLLLLL GOOOOOOOLLLLLLLLLLLLLL!!!! OLLERENSHAW GOOLLLLLLLLLLL!!
Sabah melebarkan jurang 2-0!
Minit 58, SABAH 2-0 PAHANG
Sorakan penyokong yang masih belum reda dari gol pertama Matlan, sekali lagi mengamatkan Stadium Merdeka.
Sejurus permainan dimulakan semula, Pahang terus menyerang pantas melalui Cerro. Midfielder Argentina ini berjaya mengelecek melepasi pertahanan Sabah dan melorongkan bola kepada Dollah yang tidak dikawal. Dollah kini hanya berdepan dengan Khairul.
Namun, Khairul terlalu kebal dan berjaya menafikan percubaan Dollah.
Sabah sedikit cemas!
Coach Kelly Tham melakukan pertukaran dengan memasukkan Matusin Bowie menggantikan Junaidy Tuah yang bermain sangat baik malam ini.
Minit ke-77, Pahang masih belum berputus asa, penyerang muda, Shadan Zahari masuk menggantikan Igor yang kurang menyerlah malam ini.
Berbaki 10 minit, Sabah masih meneruskan serangan, walaupun selesa dengan kelebihan 2 gol. Tidak ada istilah melengah-lengahkan perlawanan!
Akhirnya, pada minit ke-81 Stadium Merdeka bergegar lagi! GOOOLLLLLL!!!! GOOOOLLLLLL!!!
Kali ini giliran Seslija mencatat nama sebagai penjaring. Sabah semakin selesa dengan 3 gol!
Penyokong Pahang sudah mula meninggalkan stadium. Penyokong Sabah seakan-akan sudah yakin PIALA MILIK KITA!
Minit 81, SABAH 3-0 PAHANG
Charles Tindi masuk menggantikan G.Raveychandran bagi menguatkan jentera pertahanan.
Pahang terus menyerang walaupun semua pemain tahu, agak mustahil untuk mendapatkan 3 gol dalam 5 minit.
Akhirnya, usaha mereka berhasil apabila hantaran "Back-Heel" Zainal pada minit ke-89 berjaya disempurnakan oleh Dollah untuk gol saguhati Pahang.
Minit 89, SABAH 3-1 PAHANG
Gol Dollah gagal melenyapkan sorakan penyokong sabah yang sudah mula bersiul-siul meniru bunyi wisel.
Sementara itu, di bangku simpanan, Kelly Tham, Peter Rajah, staff-staff dan pemain-pemain simpanan sudah mula berpelukan dan melonjak-lonjak menunggu wisel penamat.
Pengadil melihat jam, dan
PRITT!
PRITT!
PRITTTTTTTTTTTTTTTTTTTT!!!!!!!!!!!
Tiupan wisel panjang oleh Nik Ahmad menjadi signal permulaan sebuah pesta! SABAH JUARA!!!!! SABAH MANANG!!!!KITA MANANG!!!!
Tamat perlawanan
SABAH 3-1 PAHANG
Min-44 Matlan Marjan (SAB)
Min-58 Scott Ollerenshaw (SAB)
Min-81 Milomir Seslija (SAB)
Min-89 Dollah Salleh (PAH).
Selepas penyampaian trofi kejuaraan, semua pemain menjulang piala mengelilingi Stadium Merdeka. Penyokong Sabah seakan-akan tidak mahu pulang malam itu. Inilah saat yang mereka tunggu-tunggu.

Sejurus selepas majlis penyampaian hadiah, Penjaring gol kedua, Scott Ollerenshaw sekali lagi "menemui sasaran".
"Rembatan" Ollerenshaw berjaya "menembusi hati" Ratu Karate Malaysia, Michele Koh. Scott melamar Michele pada malam itu dengan seutus cincin!
---------------------------------------
Berikut merupakan komen-komen pilihan selepas perlawanan:
1. Coach Kelly Tham
"Kemenangan ini adalah hasil usaha keras bermati-matian pemain untuk menjulang piala ini.
Selepas 3 tahun cubaan, ini merupakan kemenangan paling manis bagi saya.
Saya tidak memberi arahan khusus kepada pemain. Saya hanya memberitahu mereka supaya bermain sepenuh hati untuk membawa pulang Piala ini ke Sabah.
Ini merupakan kemenangan untuk rakyat Sabah terutama sekali penyokong-penyokong kami. Mereka sudah menunggu begitu lama untuk piala ini.
Target seterusnya ialah Liga Perdana dan Piala Malaysia"
2. Kapten Matlan Marjan
"Ia sangat mengecewakan apabila tidak dapat bermain perlawanan akhir di tempat sendiri.
Namun, penyokong Sabah yang membanjiri Stadium Merdeka malam ini memberikan kami semangat.
ini merupakan kejayaan pertama kami dalam bola sepak Malaysia. Kita harus kekalkan momentum ini dan memenangi lebih banyak piala"
3. Penjaring kedua, Scott Ollerenshaw
We mustn't let our guard down just because of just one success. We should e hungry for more and must get down to serious training immediately"
4. Penyerang Simpanan, Bobby Chua (Tidak diturunkan)
"Kegembiran ini tidak dapat saya lafazkan dengan kata-kata.
Penduduk Sabah yang tidak mengenal suku dan bangsa pasti sedang meraihkan kejayaan ini bersama-sama.
Sabah sudah menunggu sangat lama. Sekarang, kami sangat yakin boleh mengalahkan mana-mana pasukan pun."
5. Pertahanan, Ong Kim Swee (Baru 4 Bulan berpindah dari Sarawak)
"Ini adalah kejuaraan besar pertama saya. Saya yakin, kita sangat layak untuk menjulang Kejuaraan Liga Perdana pula."
---------------------------------------
Keesokan harinya, hero-hero ini berangkat pulang ke Sabah. Mereka disambut 1,500 penyokong setia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Lajim Ukin mengetuai sambutan kepulangan tersebut.
Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi ganjaran di atas kemenangan bersejarah ini. Di samping sumbangan kerajaan negeri, pemain juga memperolehi,
Nilai Kejuaaraan Piala FA: RM 100,000
Ganjaran dari penaja: RM 100,000 dan pelancongan ke China.
Kerajaan negeri turut mengumumkan Cuti Umum pada 10 April 1995. Peraakan Piala FA seluruh daerah turut dirancang.
---------------------------------------
SELEPAS KEJAYAAN TERSEBUT
Beberapa bulan selepas kejayaan, Sabah kehilangan beberapa pemain utama atas sebab yang diperlu diungkit....
Sabah, menjadi Juara Liga Perdana pada 1996 dan berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Namun, Sabah tewas kepada Selangor menerusi penentuan sepakan penalti.
Kali terakhir Sabah melangkah ke final Piala FA ialah pada 1998. Berpeluang untuk bemain di Likas, namun Sabah tewas tipis kepada Johor, 0-1.
---------------------------------------
DI MANA HERO-HERO INI SEKARANG
1. ONG KIM SWEE (DATUK)

Bermain sehingga 1998 bersama Sabah. Beliau mendirikan rumah tangga dengan rakyat Sabah. Pada18 Januari 2016, beliau diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan Malaysia.
Beliau pernah membawa negara memenangi pingat emas Sukan Sea 2011 selepas penantian 22 tahun rakyat Malaysia.
2. SCOTT OLLERENSHAW
Bermain sehingga 1998 bersama Sabah dan menjaringkan 106 gol. Rekod jaringan beliau masih kekal sehingga ke hari ini.
Ollerenshaw banyak membantu pembangunan bola sepak negara dengan membawa pemain-pemain kacukan Malaysia untuk bermain di Liga Malaysia. Antaranya, Junior Eldstal, Darren Lok, Stefan Petrovski, Sam Somerville dan ramai lagi. Beliau juga bertindak sebagai pengulas/ Pundits dalam stesyen-stesyen tv kebangsaan.
Kini, bakat beliau diikuti anak nya Jordan, 18 tahun yang sedang mengikuti akademi bola sepak di BRITISH INTERNATIONAL SCHOOL, Phuket (BISP). Jordan juga pernah menjalani latihan di Cruizero, Brazil selama sebulan.
3. MILOMIR SESLIJA
Bermain sehingga 1996 bersama Sabah sebelum digugurkan kerana peraturan baru FAM yag hanya membenarkan 2 pemain import setiap pasukan.
Beliau kembali ke Sabah pada Julai 2013 selepas diumumkan sebagai Ketua Jurulatih yang baru menggantikan David McCreery. Namun beliau hanya kekal semusim selepas Sabah memutuskan untuk menukar jurulatih.
Pertukaran jurulatih setiap tahun menjadi tradisi Pengurusan Sabah semenjak 2004 apabila Peter Butler yang membimbing Sabah dari 2001 hingga 2004 meninggalkan Badak.
---------------------------------------
Pemain-pemain Pahang juga ramai yang menjadi Jurulatih
Antaranya,
Mudzar Mohamad (Jurulatih Penjaga Gol Pahang)
Azaruddin Aziz (Pemantu Ketua Jurulatih Pahang)
Ahmad Yusof (Ketua Jurulatih Terengganu)
Zulhamizan Zakaria (Ketua Jurulatih Kuantan FA)
Gus Cerro (Pengarah Teknikal Akademi Bola Sepak Foundations)
Zainal Abidin Hassan (Ketua Jurulatih Selangor)
Dollah Salleh (Ketua Jurulatih Perlis / Bekas Ketua Jurulatih Kebangsaan)
Igor Shkvyrin (Ketua Jurulatih Olmaliq FK-Uzbekistan)
TAMAT.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...