myMetro
Kota Kinabalu: Pemain import Sabah, Koh Thaore dijulang sebagai wira apabila menjaringkan lima gol untuk membantu tuan rumah menewaskan PDRM, 5-3 pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, petang semalam.
Thaore memulakan aksi dengan gol pertama pada minit ke-10 sebaik menerima lorongan Zainizam Marjam dan terus merembat menerjah gawang pasukan pelawat.
Kelekaan pertahanan tuan rumah membuka peluang buat Kaye Edrisar menyamakan kedudukan apabila berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Shahril Sa’ari pada minit ke-21.
Traore mengambil peluang menambah jaringan pada minit ke-32 hasil hantaran Alto Linus di dalam kotak penalti.
Empat minit selepas itu, Traore mencipta hatrik apabila merembat kencang bola ke gawang lawan pada minit ke-36 bagi membolehkan Sabah mendahului 3-1.
Kegagalan penjaga gol tuan rumah, Shahril Sa’ari menampan bola memberi peluang buat Khairul Izuan Abdullah menjaringkan gol kedua PDRM pada minit ke-41.
Pada babak kedua, Sabahawks menambah jaringan keempat hasil percubaan Thaore pada minit ke-57 yang menerima hantaran lintang Alto Linus dalam kotak penalti pelawat.
Tiga minit kemudian, kealpaan pertahanan Sabah memberi peluang buat PDRM menambah gol ketiga hasil percubaan Khairul Amar Kasim dari dalam kotak penalti.
Kesilapan penjaga gol lawan yang terlepas bola percubaan Alto Linus membuka peluang buat Traore menambah gol kelima pada minit ke-80.