Akmal berjaya mengelecek pertahanan dan penjaga gol Sabah untuk menjaringkan gol kedua Hijau Kuning. |
Hijau Kuning berada di hadapan 1-0 seawal minit ke-7 apabila Guc memperdayakan penjaga gol Sabah, Shahril Sa’ari. Pada minit ke-37 pula, Akmal Rizal Ahmad Rakhli membuktikan kemahiran tingginya masih berbisa apabila mengelecek empat pemain Sabah sebelum merembat masuk untuk menewaskan Shahril buat kali kedua.
Bagaimanapun Sabah yang dikuatkan dengan beberapa muka baru selepas perpindahan pemain April lalu bangkit dalam tempoh dua minit pada minit ke-56 hasil jaringan Koh Traore dan minit ke-58 jaringan bekas import Kedah, Abdelfatah Safi. Mengulas perlawanan berkenaan, Tot mengakui ‘penyakit’ lama pasukannya yang gagal mempertahankan jaringan gol sebelum disamakan lawan masih belum berjaya diatasi.
Menurutnya, Hijau Kuning berjaya mengekalkan corak permainan cemerlang pada separuh masa pertama sehingga berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh berkenaan. Bagaimanapun, Sabah yang berwajah baru berjaya bangkit menekan dan memanipulasi kelemahan pemainnya untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pemain saya kerana berjaya menghadapi Sabah yang kita tahu sudah berwajah baru jika dibandingkan dengan beberapa bulan yang lalu. “Biarpun kita berjaya mendahului di hadapan dengan dua jaringan, siapa sangka Sabah berjaya bangkit dalam masa dua minit untuk menyamakan kedudukan dan saya fikir semangat tidak mengalah menyebabkan pemain Kedah berusaha untuk mengutip tiga mata dan mereka akhirnya berjaya melakukan,” katanya.
Kedah bakal bertemu pasukan jiran, Perlis pada 13 Mei ini di Stadium Darul Aman bagi perlawanan ke-17 Liga Premier.