Sinar Harian
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengucapkan syabas kepada Rozaimi Abdul Rahman atas kejayaan merangkul gelaran Pemain Harapan Terbaik sempena Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 2012.
"Sebagai Presiden Safa (Persatuan Bolasepak Sabah) dan bagi pihak seluruh penyokong serta peminat sukan bola sepak negeri Sabah, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Rozaimi Abdul Rahman atas kejayaan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Musa berkata kejayaan yang membanggakan itu tentunya datang dari kesungguhan serta disiplin tinggi yang dipamerkan oleh Rozaimi dalam sukan itu.
"Ia juga membuktikan bahawa kita tidak ketandusan dalam memiliki dan melahirkan pemain berkebolehan dan mempunyai taktik serta kemahiran yang tinggi dalam sukan bola sepak.
"Malah sebelum ini, kita telahpun melahirkan ramai bintang ternama dalam arena bola sepak tempatan," katanya.
Sehubungan itu, Musa yakin ramai lagi yang akan menjejaki langkah Rozaimi dalam mengharumkan nama negeri bukan sahaja dalam suka bola sepak, malah dalam bidang yang lain.
"Selamat maju jaya saya ucapkan kepada Rozaimi, semoga kejayaan ini tidak berakhir di sini sahaja, tingkatkan usaha bagi membolehkan anda berada sebaris dengan lagenda bola sepak negara sekali gus mengharumkan nama negeri Sabah dalam arena bola sepak negara," katanya. - Bernama