myMetro
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my
PENYERANG pinjaman Selangor, Rozaimi Abdul Rahman mungkin menjadi senjata rahsia Irfan Bakti Abu Salim untuk merobek gawang Kelantan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam ini.
Pemain berusia 20 tahun yang meledak 10 gol pada kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun itu sudah menjalani latihan penuh bersama rakan sepasukannya dan mungkin menjadi pilihan utama untuk menggantikan Mohd Fitri Shazwan Raduwan yang mengalami kecederaan beberapa hari lalu.
Pemain dari Sabah itu nyata bersemangat untuk menyarung jersi Merah Kuning yang juga mungkin kali terakhir buat dirinya andai Selangor gagal mara ke final Piala Malaysia yang dijadual berlangsung 20 Oktober ini.
Dia turut mengaku ingin membuktikan ketajamannya dan memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan selepas seorang lagi pemain pinjaman Selangor dari USM FC, S Veenod jelas memberikan impak yang besar kepada anak buah Irfan Bakti hingga berjaya mara ke separuh akhir.
“Saya harap dapat bermain esok (malam ini). Setakat ini saya hanya mampu menyumbangkan satu gol dalam kempen Piala Malaysia ketika menentang Pahang manakala satu lagi ketika menewaskan pilihan Singapura dalam aksi merebut Piala Sultan Selangor.
“Peluang mara ke final masih seimbang walaupun ketinggalan satu gol.
Namun selain memburu gol kami turut perlu waspada kerana lawan berbahaya ketika melakukan serangan balas selain memiliki kemahiran individu,” katanya yang mengalami kecederaan hamstring pada suku akhir kedua bertemu Johor FC di Stadium Shah Alam.
Selangor ketinggalan satu gol kepada Kelantan selepas tewas separuh akhir pertama di Kota Bharu menerusi jaringan tunggal Norfarhan Muhammad.
Sementara itu Persatuan Bola Sepak Selangor akan mewujudkan tabung derma di pintu masuk Stadium Shan Alam malam ini bagi membantu bekas bekas pemain, Ezmi Mad Jan yang menderita kanser hidung.