Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Saturday, August 04, 2012

Safa tidak rela lepas Rozaimi

myMetro
 Oleh Aziman Rosdi 
aziman@hmetro.com.my 

 PERSATUAN Bola Sepak Sabah (Safa) tidak rela melepaskan pemain mudanya, Rozaimi Abd Rahman menyertai BEC Tero Sasana apabila mereka menolak tawaran kelab liga utama Thailand itu semalam. Keputusan itu dilihat satu langkah ke belakang oleh Safa ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sibuk melaungkan hasrat memasarkan pemain muda ke luar demi perkembangan bola sepak tanah air.

 Menurut Pengarah Urusan Golden Sport Management, Zulfikar Amizan Ahamed, menerusi penjelasan yang diberikan Setiausaha Agung Safa, Alijus Sipil, Rozaimi tidak boleh menerima kontrak profesional dengan BEC Tero Sasana kerana harus menepati kontrak sebagai pemain pinjaman Selangor bagi kempen Piala Malaysia.

 Malah Alijus menggunakan faktor umur Rozaimi dan komitmen pemain berusia 19 tahun itu dengan latihan skuad Harimau Malaya sebagai alasan menolak kontrak lumayan kelab naib juara Liga Juara-Juara Asia 2002 itu. “Bagi saya keputusan Safa menolak tawaran BEC Tero Sasana ini merugikan buat pemain muda seperti Rozaimi. Namun kami harus menghormati keputusan Safa dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada BEC Tero Sasana,” katanya.



 “Sebenarnya Rozaimi masih boleh mengikuti latihan bersama Harimau Malaya meskipun menandatangani kontrak dengan BEC Tero Sasana dan agak mengecewakan apabila mereka menganggap Rozaimi masih muda untuk menimba pengalaman di luar negara,” tambah Zulfikar. Sebelum ini pemain penyerang itu menyatakan minatnya selepas dimaklumkan mengenai tawaran kontrak oleh BEC Tero Sasana pada pertengahan bulan lalu namun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bertindak lebih pantas beberapa hari selepas itu dengan menawarkan kontrak sebagai pemain pinjaman selama tiga bulan bagi saingan Piala Malaysia.

 Hingga kini, hanya Muhamad Nazmi Faiz Mansor, 17, sudah melebarkan sayapnya ke luar negara bersama kelab Portugal, S C Beira-Mar bagi mengikut jejak langkah pemain senior, Mohd Safee Sali yang mewakili Pelita Jaya FC di Indonesia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...