myMetro
Oleh Azizan Hashim
sukan@hmetro.com.my
PERAK mengesahkan peminjaman tiga pemain Sabah iaitu kapten, Mohd Reithauddin Awang Embran, Zuraindey Jumai dan Mohd Fariss Azlan Mat Isa dalam usaha memperkuatkan skuad Seladang pada kempen Piala Malaysia 2012 bermula 22 Ogos ini.
Pengesahan oleh pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun itu sekali gus menamatkan teka-teki mengenai tenaga tambahan dari pasukan lain yang akan datang ke Perak.
Reithauddin, 34 dan Fariss, 28 adalah tonggak pertahanan pasukan negeri di bawah bayu itu manakala Zuraindey, 32 pemain tengah.
Kecuali Fariss yang menyertai pasukan barunya sejak minggu lalu, Reithauddin dan Zuraindey berbuat demikian mulai kelmarin.
“Perak berjaya mendapatkan khidmat tiga pemain Sabah bagi membantu kami dalam kempen Piala Malaysia kali ini.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) atas kesudian mereka melepaskan trio itu,” katanya.
Katanya trio itu menggantikan Chan Wing Hoong serta Mohd Badrul Azam Zamri dan Mohd Khairi Zainuddin yang disisihkan kerana kecederaan.
Menurut Azwan, lima pemain skuad Piala Presiden Perak juga diuji ketua jurulatih baru, Jang Jung.
“Saya harap Jang Jung berupaya menyediakan satu pasukan mantap untuk menghadapi kempen dalam kumpulan C agar berjaya mara sejauh mungkin.
“Dia memiliki bahan yang sudah teruji kerana berjaya menduduki tangga keempat Liga Super baru lalu,” katanya.