Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Tuesday, August 07, 2012

Hormati keputusan Rozaimi

Kosmo!
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE 
hidayat.azmie@kosmo.my 

ENTAH di mana silapnya, kehadiran bintang muda, Rozaimi Abdul Rahman bersama Selangor sebagai pemain pinjaman bagi menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini bagaikan tidak direstui banyak pihak. Selain dianggap menutup ‘periuk nasi’ Rozaimi bagi menyarung jersi kelab Thailand, BEC Tero Sasana, skuad Gergasi Merah juga dikritik kerana tidak meminjam peledak berbisa negara, Mohd. Safee Sali.

 Ia kerana khidmat Safee ketika ini tidak diperlukan kelabnya, Pelita Jaya sebaik saingan Liga Super Indonesia (ISL) 2012 berakhir baru-baru ini. Begitupun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin mempunyai jawapan berhubung perkara itu.

 Menurut beliau, isu sebegini tidak wajar disensasikan memandangkan Rozaimi sendiri mahu membantu Selangor mengharungi Piala Malaysia, selain pihaknya juga mendapatkan khidmat penyerang muda Sabah itu mengikut saluran yang sah. “Tuan punya badan sendiri (Rozaimi) sudah sahkan (mahu beraksi bersama Selangor), jadi semua pihak sewajarnya menghormati keputusan Rozaimi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

 Tero Sasana sebelum ini dilaporkan mahu menawarkan kontrak secara tetap kepada Rozaimi ekoran usaha mendapatkan penyerang Indonesia, Titus Bonai menemui jalan buntu. Namun, ia tidak semudah yang dijangka ekoran Rozaimi terlebih dahulu ‘diikat’ Selangor menerusi pinjaman bagi mengharungi Piala Malaysia bermula 22 Ogos ini, selain hasrat itu tidak mendapat pelepasan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa).

 Mengulas lanjut, Hamidin berkata, pihaknya juga tidak boleh mendapatkan khidmat Safee menerusi pinjaman gara-gara termaktub dalam undang-undang yang digariskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). “Mana-mana pasukan hanya dibenarkan meminjam pemain yang beraksi dalam negara bagi saingan Piala Malaysia, sebab itu kami tidak boleh mendapatkan khidmat Safee,” jelasnya.

 Hamidin turut mengesahkan yang Rozaimi bakal menyarung jersi No. 33, signifikan dengan misi Selangor memburu Piala Malaysia ke-33 kali ini. “Ia sebenarnya secara kebetulan memandangkan nombor tersebut (33 hingga 35) sememangnya dikhaskan untuk pemain pinjaman bukan sahaja untuk Selangor tetapi juga mana-mana pasukan. “Jadi, saya harap kehadiran Rozaimi kali ini dapat membantu Selangor berdepan ‘Misi 33’ dengan penuh membara,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...