myMetro & Sinar Harian
SELEPAS prestasi dalam saingan Liga Super kurang memberangsangkan, Negeri Sembilan bakal mendapatkan khidmat tiga pemain luar dalam misi mereka mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini.
Selain pemegang kasut emas Liga Perdana musim ini, Khairul Izuan Abdullah dari PDRM yang sudah mengesahkan bersama skuad itu, dua lagi pemain dari Sabah dijangka bersama skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah itu.
Bagaimanapun dua pemain dari Negeri Di Bawah Bayu itu belum dapat diumumkan pengurusan pasukan kerana rundingan sedang dijalankan antara Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dengan Persatuan Bola Sepak Sabah.
Penolong Pengurus Negeri Sembilan, Hamzah Mohd Nor, berkata secara lisannya kedua-dua pemain Sabah itu sudah menyatakan persetujuan bersama skuad Hoben Jang Hoben bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.
Katanya, bagaimanapun majikan pemain terbabit belum membuat keputusan rasmi tapi pihaknya yakin ia tidak akan berdepan masalah mendapatkan khidmat kedua-dua pemain berkenaan.
Sementara itu, Juara Piala FA dan Liga Super 2012, Kelantan akan meminjam dua pemain Kuala Lumpur dan seorang dari Sabah dalam memperkukuhkan pasukan itu bagi menghadapi Piala Malaysia bulan depan dan Piala Konfederasi Asia (AFC), September ini.
Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata pemain Kuala Lumpur itu ialah Aslam Najumudeen dan Afiq Azmi dan Mafry Balang dari Sabah, katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis pelancaran bufet Ramadan di Perdana Resort di sini, hari ini.
Beliau berkata:
"Ketiga-tiga mereka ini juga turut tersenarai sebagai antara pemain utama untuk beraksi dalam Piala Malaysia musim ini."