Utusan Online
KOTA KINABALU - Kekalahan besar Sabah 0-4 ke atas PKNS Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas kelmarin, terus menambah duka pasukan itu.
Meskipun beraksi di laman sendiri, skuad kendalian jurulatih sementara, Andrew Manjanggim itu gagal menebus kehampaan dibelasah Lions XII 9-0, Sabtu lalu.
Andrew berkata, kekalahan di Singapura minggu lalu masih belum dapat dilupakan oleh pemain-pemainnya dan ia jelas kelihatan pada perlawanan menentang PKNS Selangor.
''Pemain telah berusaha mengekang asakan lawan tetapi masih tidak mampu menyaingi PKNS.
Kita berjaya mencipta empat peluang pada separuh masa pertama, tetapi disia-siakan begitu sahaja oleh para pemain.
''Pemain pula seperti hilang punca dan kerap melakukan kesilapan pada separuh masa kedua sehingga membolehkan PKNS mengambilkan kesempatan menjaringkan tiga gol," katanya.
Gol PKNS dijaringkan oleh Md. Nizaruddin Yusoff minit 45, Helmi Remeli (64), Rudie Ramli (66) dan Md. Fadhil Md. Hashim melengkapkan malam bergaya pasukan lawan minit ke-80.