Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Friday, June 22, 2012

Bos Safa mula naik angin

Kosmo! Online
Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB 
yunus.yakkub@kosmo.com.my 

BADAI yang melanda pasukan bola sepak Sabah kini memasuki episod baharu apabila mendapat teguran serius daripada Ketua Menteri sendiri, Datuk Seri Musa Aman. Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) dalam nada serius mengakui cukup kecewa dengan prestasi semasa skuad yang mendapat jolokan Sabahawks itu dalam kempen Liga Super.

 Bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku, Musa turut mengarahkan pihak berkaitan agar menyediakan laporan lengkap mengenai kekalahan besar yang dialami Sabah ketika menentang Lions XII dan Selangor PKNS sebelum ini. Katanya, isu kekalahan tidak harus dibiarkan berpanjangan apatah lagi ia melibatkan maruah bola sepak negeri yang mendapat perhatian sepenuhnya daripada penyokong setia Sabahawks.

 "Saya sendiri telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan (JK) Safa memandang masalah ini dengan serius dalam mengenal pasti siri kekalahan itu. “Mereka (JK) juga harus memperbaiki apa juga kelemahan atau isu yang timbul agar ia tidak berlarutan sehingga menghilangkan kepercayaan penyokong,” katanya dalam kenyataan yang dipetik daripada laman sosial Facebooknya semalam.

 Dalam pada itu, beliau turut mengeluarkan amaran tegas dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam unsur-unsur tidak sihat dalam pasukan. "Kalau ada sesiapa yang buat, saya pasti kenakan hukuman,” jelasnya.

 Jelasnya, kini bukanlah masa untuk saling menuding jari mencari kesilapan siapa sebaliknya digunakan dalam membersihkan ‘luka’ parah yang menyelubungi skuad Sabahawks. Untuk rekod, pasukan bola sepak Sabah mula dipalit kontroversi selepas tewas besar 0-9 kepada Lions XII, Sabtu lalu sebelum dimalukan pasukan berstatus kelab, Selangor PKNS 4-0 di gelanggang sendiri, kelmarin.

 Dua kekalahan yang disifatkan sebagai luar biasa itu meletakkan Sabah terperosok ke tangga ke-12 liga, sekali gus mencetuskan polimik baharu dalam kalangan penyokong yang akhirnya membawa kepada desakan agar Safa dibubarkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...