Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Thursday, October 30, 2008

Skuad Badak tak mahu 'bintang'


Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

TIDAK seperti pasukan lain yang teruja mendapatkan pemain bertaraf 'bintang', Sabah pula lebih selesa menggunakan khidmat pemain negeri itu bagi menghadapi kempen Liga Perdana musim depan.

Menurut pengurus pasukan, Rahman Zakaria, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa selain kedudukan Sabah yang kini sedang melalui proses pembangunan semula.

Begitupun, Rahman mengaku bahawa skuad Badak itu tetap memerlukan sentuhan pemain luar dalam misi mengembalikan maruah bola sepak Sabah.

Antara pemain luar yang dijangka menyertai pasukan itu ialah Chan Wing Hong, iaitu pemain pertahanan berpengalaman dari Perak.

"Dia (Chan Wing Hong) akan datang ke Sabah minggu depan untuk berbincang mengenai keputusannya menyertai pasukan ini," jelas Rahman kepada Kosmo! semalam.

"Selain Wing Hong, pemain luar lain yang akan terus bersama pasukan ini ialah Wong Sai Kong selain Chow Chee Weng yang diharap dapat terus menyarung jersi skuad negeri ini."

Begitupun, Sabah yang kini dibimbing oleh jurulatih sementara, Burhan Ajui tetap memberi keutamaan kepada pemain negeri itu untuk beraksi pada musim depan.

"Kami masih perlukan khidmat pemain tempatan seperti Zainizam Marjan, Joey Ryan Gundok dan Hardy Charles Parsi serta beberapa lain pemain muda yang lain," tambah Rahman.

"Pasukan kami juga bakal mendapat sentuhan pemain berbakat, Ian James Wong yang juga anak kepada bekas pemain negeri, James Wong."

Turut memperkuatkan pasukan Sabah pada kempen musim baru akan datang ialah Bobby Gonzales, Zaykiel Leong, Restu Emat, Zuraindey Jumai, Radzi Hussin, Mohd. Farid Saibun dan Azrul Ejati Damsah.

Sementara itu, Rahman turut mengesahkan bahawa Sabah kini dalam proses untuk mencari ketua jurulatih bagi menggantikan tempat jurulatih dari Croatia, Drago Mamic.

"Apa yang boleh saya katakan ialah persatuan sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan jurulatih dari Timur Tengah," jelasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...