Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Thursday, August 05, 2021

TIGA IMPORT TENGAH TFC JADI PERANAN, SABAH DAN KUALA LUMPUR MASIH DAHAGA KEMENANGAN

 Sumber: MFL

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui tiga pemain tengah import memainkan peranan penting dalam mengawal persembahan pasukan ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas PJ City FC dalam aksi Liga Super, semalam.

Jelasnya, gandingan tiga pemain import iaitu Dechi Marcel N’Guessan, Makan Konate dan Habib Haroon di bahagian tengah dianggap sebagai nadi utama yang sentiasa bijak mengawal corak permainan untuk membantu rakan sepasukan baik di pertahanan dan serangan.

Aksi mereka di atas padang semalam nyata berjaya memberi masalah kepada lawan untuk melakukan asakan selain berjaya untuk mengawal pergerakan bola dengan lebih aggresif bagi membantu rakan pasukan memburu jaringan.

Apatah lagi, selepas mereka seri dan tewas dan dua perlawanan terdahulu, Nafuzi menganggap kebangkitan yang ditampilkan oleh anak buah benar-benar di luar jangkaan walaupun rata-rata pemain sudah agak kepenatan pada separuh masa kedua perlawanan.

“Bagi saya, bahagian tengah merupakan enjin kepada pasukan kerana kalau mereka dapat bermain dengan baik, yang lain juga akan dapat beri persembahan yang baik.

“Ketiga-tiga pemain ini memang penting kerana mereka dapat mengawal corak permainan, menggerakkan pasukan, dan membantu juga dari segi bertahan dan menyerang, jadi mereka betul-betul jadi peranan untuk pasukan.

“Apa-apa pun, tahniah saya ucapkan kepada semua pemain yang bekerja keras selepas tiada jaringan dilakukan dalam dua aksi sebelum ini, dan mereka tetap bermain dengan baik walaupun pada minit-minit terakhir untuk menjaringkan gol.

“Sepertimana penyerang, David Da Silva, saya tahu kualiti yang ada pada dia dan apabila saya tengok dia bermain malam ini, saya percaya dia boleh menjaringkan gol, cuma kalau nak melakukan jaringan, ia bukan bergantung kepada dia seorang, tetapi kepada orang lain juga”, jelasnya.

Dalam satu lagi aksi berlangsung semalam menyaksikan Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC masing-masing meraih keputusan seri berturut-turut dengan keputusan 1-1.

Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto menyifatkan kesilapan sama yang sering dilakukan adalah apabila tidak memanfaatkan peluang sebaiknya untuk menjaringkan gol.

Dan beliau tidak menafikan kecewa dengan keputusan itu tatkala mereka mengharapkan tiga mata dapat diraih selepas gagal meraih kemenangan dalam lima perlawanan terdahulu.

“Kalau ikutkan keputusan ini, kami memang kecewa kerana sasaran adalah untuk mendapatkan tiga mata sebab kami sudah tiga kali seri berturut-turut.

“Perlawanan semalam, saya boleh katakan kami dapat mengawal permainan secara keseluruhan cuma masalah untuk melakukan penyudah berkesan dengan beberapa peluang yang ada, susah untuk kita menambah jaringan.

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa, cuma yang penting selepas ini pemain perlu lebih fokus dalam tempoh 90 minit ini”, katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...