Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Monday, November 23, 2020

JELIUS TERUJA PERANAN BAHARU

 Sumber: MFL


Peranan sebagai pengurus Sabah pada musim 2021 akan menjadi satu cabaran berbeza buat Jelius Ating selepas pernah bertindak selaku ketua jurulatih Sabah pada musim 2017 hingga 2019 selain penolong jurulatih pada musim lalu.
 
Selepas hanya bertindak dalam bidang kuasa kejurulatihan selama ini, bekas pemain Sabah era-90an itu mengakui tugasnya kini akan meliputi hal-hal berkaitan pemain di luar padang selain membantu pihak pengurusan.
 
Namun, Jelius tetap akan membantu serta bekerjasama dengan ketua jurulatih yang masih belum diputuskan oleh pihak pengurusan terhadap perkara yang berkaitan dengan taktikal dan latihan pasukan.
 
“Terima kasih kepada pihak pengurusan Sabah yang berikan kepercayaan kepada saya dan sememangnya jawatan ini akan berikan saya lebih banyak peranan di dalam pasukan.
 
“Bukan sahaja terhadap aspek teknikal pasukan tetapi mengenai penjagaan imej pasukan serta perkara-perkara berkaitan pengurusan memandangkan Sabah akan dikenali Sabah FC pada musim depan, sejajar dengan penswastaan pasukan.
 
“Sudah tentu banyak perkara yang perlu saya lihat selaku pengurus dan dalam masa sama, saya rasa lebih berpeluang untuk sama-sama membantu ketua jurulatih serta berkongsi pandangan dalam meningkatkan kualiti pasukan.
 
“Apa yang lebih mustahak, saya dan pihak pengurusan akan cuba melakukan satu perubahan baharu terutama dalam merangka pelbagai strategi sebagai usaha bagi menjana pendapatan pasukan,” katanya.
 
Jelius tidak dapat meneruskan peranannya selaku ketua jurulatih pada musim 2020 ekoran tidak mempunyai lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) biarpun berjaya membawa skuad Tambadau muncul juara Liga Premier dan tugas itu dipikul oleh Kurniawan Dwi Yulianto.
 
Pada minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato Verdon Bahanda pada sidang media pertamanya minggu turut melantik seorang lagi bekas pemain Sabah, Justin Ganai selaku Pengarah Teknikal Sabah FC.
 
Mengenai perjalanan Sabah pada masa akan datang, Jelius sudah merangka apa yang perlu dilakukan selepas membuat rumusan terhadap apa yang telah dilalui skuad Tambadau sepanjang musim ini.
 
Beliau mendapati ada kemerosotan prestasi daripada kalangan majoriti pemain selain prestasi pemain import yang kurang memuaskan yang tidak banyak membantu kepada kekuatan pasukan.
 
“Saya mahu pemain kembali perbaiki fokus dan sikap untuk masa akan datang kerana sepanjang pemerhatian sepanjang musim ini,saya dapati ada penurunan dalam permainan mereka.
 
“Tiada guna jika pemain itu ada teknik dan bakat yang baik namun mentaliti di atas padang seperti tidak ada fokus, pasukan ini boleh pergi jauh jika aspek sebegini mampu diperbaiki.
 
“Mengenai pemain import, kita akan cuba mencari yang lebih baik kerana berdasarkan pemerhatian, pemain import yang berkualiti akan membantu kepada kejayaan pasukan memandangkan tahap pemain tempatan di antara semua pasukan tidak banyak jauh berbeza.
 
“Harapan saya pada musim depan adalah mahu melihat Sabah mampu berikan saingan serta cuba berada dalam kalangan lima teratas Liga Super,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...