Bernama
KOTA KINABALU, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri akan mencari dana dan tajaan bagi skuad bola sepak Sabah musim ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
"Sejak beberapa tahun lepas kita tidak mencapai tahap yang begitu baik dalam permainan dan rakyat sudah dahagakan permainan yang bermutu.
"Rakyat atau peminat bola sepak negeri akan sentiasa setia memberi sokongan kepada pasukan Sabah. Jadi penuhilah tanggungjawab anda untuk berjaya," katanya pada majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi pasukan di sini Isnin.
Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berharap pemain memberi perhatian serius terhadap aspek kecergasan dan disiplin.
Skuad Sabah yang turut digelar Skuad Badak akan mula bermain dalam Liga Perdana pada 24 Jan ini dengan dilatih bekas pemain importnya dari Bosnia iaitu Milomir Seslija yang membantu Sabah menjulang Piala FA pada 1995.
Selain bintang tempatan seperti Rozaimi Abd Rahman, Sabah turut diwakili tiga pemain import iaitu Mitrovic Srecko, 30, dari Serbia; Pocuca Predrag, 28, dari Croatia dan Marwan Sayedeh, 29, dari Syria.