Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Saturday, March 02, 2013

Traore suntik semangat Sabah

myMetro

Sabah memberikan aksi lebih meyakinkan apabila menundukkan Johor FA, 3-2 pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, petang semalam. Pasukan tuan rumah memulakan rentak menarik apabila pemain import, Koh Traore menjaringkan gol pertama Sabahawks hasil hantaran Shahruddin Yakub seawal minit kedua. 

Namun, pelawat bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohd Rashid Mohd Aya yang menanduk masuk bola sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gol Sabah, Shahril Sa’ari pada minit ke-21. Johor mendapat peluang keemasan menambah jaringan selepas percubaan Jasazrin Jamaludin dari jarak 35 meter berjaya ditepis keluar Shahril pada minit ke-32.

 Kerapuhan benteng Johor memberi peluang kepada tuan rumah apabila Shahrul Azhar Ture melepaskan rembatan dari jarak 35 meter pada minit ke-38 untuk Sabah mendahului 2-1. Sabahawks terus menyerlah pada babak kedua dan Traore yang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Johor, Mohd Fazli Paat mudah menjaringkan gol ketiga pada minit ke-81.

 Namun, keadaan kelam kabut di depan gawang Sabah pada minit terakhir memberi peluang untuk Johor merapatkan kedudukan 2-3 menerusi Izuan Jarudin. Pengendali Sabah, David McCreery puas hati dengan kemenangan ketiga pasukan itu selepas sembilan perlawanan. “Saya gembira dengan kerja keras ditunjukkan pemain sepanjang 90 minit permainan.

 “Sebelum beraksi, saya nasihatkan mereka supaya melupakan perlawanan sebelum ini dan mereka benar-benar menunjukkan semangat berpasukan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat pertemuan itu. Berikutan kemenangan itu, Sabah mengutip 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan lima kalah daripada sembilan perlawanan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...