my Metro
Brisbane, Australia: Penyerang berbakat negara, Rozaimi Abd Rahman tidak tertekan walaupun harapan tinggi bakal disandarkan kepadanya dalam mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar, Disember nanti.
Pemain berusia 21 tahun itu dilihat antara pemain yang bakal menjadi tonggak utama skuad kendalian Ong Kim Swee dalam mempertahankan pingat emas di temasya dwi tahunan itu buat kali ketiga berturut-turut.
Dia tidak menunggu masa yang lama untuk memikat hati Kim Swee selepas bersama Harimau Muda A tahun ini apabila meledak dua gol dalam dua aksi awal perlawanan persahabatan yang berlangsung di Australia.
“Untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama masih belum pasti namun saya gembira seandainya jurulatih terus memberikan kepercayaan.
“Ini mencetuskan semangat saya untuk mempamerkan aksi lebih baik. Malah saya tidak berasa sebarang tekanan kerana ini adalah permainan berpasukan,”kata pemain kelahiran Sabah.
Jelasnya masih terdapat beberapa kelemahan individu yang perlu diperbaikinya dan berharap perlawanan kompetitif selepas ini mampu memantapkan lagi persembahan menjelang misi penting di Myanmar nanti.