Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Tuesday, July 17, 2012

Tidak mustahil

Kosmo!
ROZAIMI kini berada dalam radar jurulatih skuad harimau Muda, Ong Kim Swee.
"TIDAK mustahil tetapi bukan sekarang."Demikian respons pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee mengenai kemungkinan penyerang muda Sabah, Rozaimi Abdul Rahman menyertai skuadnya secara tetap selepas ini. Membayangkan ia suatu perkara yang cukup positif, Kim Swee berharap ia mampu dilaksanakan segera bagi membentuk persefahaman yang mantap antara kesemua pemainnya menjelang mana-mana kejohanan utama. 


 Begitupun katanya, ia mungkin sukar dilaksanakan dalam tempoh terdekat memandangkan Rozaimi, 20, masih terikat dengan kontrak bersama Sabah. "Saya menghormati kontrak antara Rozaimi dengan Sabah, jadi saya rasa agak sukar menyerap masuk Rozaimi dalam skuad Harimau Muda dengan kadar segera.


 "Benda ini sebenarnya boleh dibawa berbincang. Sekiranya majikan Rozaimi bersetuju melepaskannya, sudah tentu ia memberikan manfaat kepada skuad muda negara. "Lagi cepat lagi bagus, jadi saya harap mudah-mudahan ia dapat dilaksanakan selewat-lewatnya sebelum saingan Liga Singapura (Liga S) bermula musim depan," kata Kim Swee kepada Kosmo!.

 Nama Rozaimi sebelum ini meniti di bibir bola sepak tempatan apabila meledak 10 gol ketika membantu Harimau Muda menempuh kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun di Yangon, Myanmar baru-baru ini. Anak jati Bongawan yang bakal dipinjamkan ke Selangor bagi mengharungi kempen Piala Malaysia itu juga dilihat turut menyinar apabila membantu skuad Sukan Malaysia (Sukma) Sabah meraih emas pada temasya kali ini.


 Selain itu, Rozaimi juga bakal menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana selama seminggu sebaik membantu Selangor selepas ini. Selain Rozaimi, antara 'pemain luar' yang turut membantu skuad Harimau Muda di Yangon tempoh hari ialah Ashri Chuchu (Sarawak), Ariff Farhan Md Isa (Sekolah Sukan Bukit Jalil), Azrif Nasrul- haq Badrul Hisham dan Aminuddin Mohd. Noor dari PKNS. 


 Untuk rekod, Harimau Muda yang kembali mengharungi saingan Liga S selepas ditunjukkan jalan keluar pada kelayakan Piala AFC baru-baru ini berjaya menewaskan Tanjong Pagar United dengan keputusan 2-0, Jumaat lalu, sekali gus menduduki tangga kelima dengan 26 mata, kurang empat mata di belakang pendahulu Liga S, Albirex Niigata yang begitupun beraksi lebih dua perlawanan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...