myMetro
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my
PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) tetap mempertahankan keputusan meminjam pemain muda berbakat dari Sabah, Rozaimi Abdul Rahman untuk menyarung jersi Merah Kuning sepanjang saingan Piala Malaysia 2012, bermula September depan.
Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan, pemain terbabit sememangnya berminat untuk bersama Selangor walaupun dilapor mendapat tawaran kelab Thailand, BEC Tero Sasana selepas aksi mengagumkan ketika mewakili skuad Bawah 22 Tahun negara di Myanmar baru-baru ini.
“Kami sudah mengikut segala prosedur ditetapkan untuk mendapatkan Rozaimi sepanjang saingan Piala Malaysia. Sebarang perkara berhubung kelab Thailand itu perlu ditanyakan kepada Persatuan Bola sepak Sabah (Safa). Saya tidak mengetahui perbincangan yang mereka lakukan,” kata Hamidin.
Selangor berjaya mendapatkan Rozaimi sebagai pemain pinjaman untuk kancah Piala Malaysia pada minggu lalu ketika pemain berusia 19 tahun itu dilapor menjadi buruan BEC Tero Sasana untuk menjalani ujian pemilihan apabila meledak 10 gol di pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun.
Perkembangan terbabit dilihat menutup ruang Rozaimi untuk beraksi di negara Gajah Putih itu hingga tamat saingan Piala Malaysia.
Sementara Hamidin mengesahkan FAS akan berusaha mendapatkan khidmat kapten Pelita Jaya FC, Mohd Safee Sali bagi menguatkan jentera serangan Selangor untuk menentang Singapura dalam merebut Piala Sultan Selangor edisi ke-11 dijadual berlangsung 29 September di Stadium Shah Alam.
“Kami turut akan mendapatkan pemain import lain sama ada dari PKNS FC atau negeri lain bagi menguatkan pasukan. Kami akan menampilkan pasukan terbaik kali ini terutamanya dengan kehadiran tonggak import selepas beberapa tahun tidak memenangi Piala Sultan Selangor,” katanya.
Selain aksi perlawanan utama terbabit, penonton turut disajikan dengan pertembungan pemain veteran kedua-dua pasukan di samping persembahan artis dan cabutan bertuah pada hari perlawanan.