Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Wednesday, July 18, 2012

Negeri Sembilan rancang pinjam pemain Sabah pertahan Piala Malaysia

Bernama

 ALOR SETAR: Negeri Sembilan merancang untuk meminjam pemain dari pasukan Sabah dalam usaha memperkuatkan pasukan itu untuk mempertahankan Piala Malaysia. Jurulatihnya Mohd Azrai Khor Abdullah berkata pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan mengemukakan permohonan rasmi minggu ini bagi mendapatkan beberapa pemain yang dikenal pasti.

 Bagaimanapun beliau yang ditemui di sini, enggan mendedahkan nama pemain terbabit sebelum dipersetujui oleh Sabah kerana bimbang akan 'dicuri' negeri lain. Katanya beliau juga akan mengambil lima pemain dari skuad Sukan Malaysia (Sukma) negeri itu untuk menjalani latihan bersama pemain senior yang akan bermula 22 Julai ini.

 Mereka ialah Khairul Ridzwan Othman, Muhamad Bukhairi Idris, Mohd Radzuan Abdullah, Fiqri Azwan Ghazali dan Mohd Nizam Ruslan, katanya. Pemain terbabit katanya akan bermain dalam saingan Liga Super bagi membiasakan mereka dengan pasukan, selain boleh dijadikan tonggak utama pasukan jika ada pemain senior alami kecederaan.


 "Bukkhairi Idris kita akan senaraikan dalam kesebelasan utama kerana dia seorang pemain muda berbakat dan bermain dengan pantas dan cermat," kata Mohd Azrai. Sekalipun bergelar juara bertahan, Mohd Azrai berkata beliau tidak tertekan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia kerana percaturan peringkat kumpulan lebih penting bagi melayakkan pasukannya ke peringkat seterusnya.

 Mohd Azrai berkata pasukan itu akan mengadakan empat perlawanan persahabatan pada bulan Ramadan ini dengan pasukan yang akan ditetapkan kemudian. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...