Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Friday, June 29, 2012

Rozaimi curi tumpuan

Harian Metro
 Oleh Aziman Rosdi 
aziman@hmetro.com.my 

 SENTUHAN Rozaimi Abd Rahman terus berbisa apabila menjaringkan dua gol untuk membantu skuad Bawah 22 Tahun negara (B-22) menumpaskan Taiwan 4-2 sekali gus merekod kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan G Kejohanan Kelayakan Piala Asia 2013 B-22 di Yangon, Myanmar semalam.

 Selepas meledak empat gol ketika Malaysia membelasah Filipina 7-0 pada aksi kedua Isnin lalu, Rozaimi, pemain tengah berasal dari Sabah itu membolosi gawang Taiwan pada minit ketujuh dan 40. Dua lagi gol skuad negara dihasilkan menerusi jaringan sendiri pemain Taiwan, Chen Yen-Jui pada minit ke-32 dan D Saarvindran (m-78) namun jurulatih negara, Ong Kim Swee nyata kurang berpuas hati dengan kelekaan anak buahnya sehingga dibolosi Lin Chang-Lun (m-50) dan Wen Chih-Hao pada masa kecederaan.

 “Saya gembira dengan kemenangan ini kerana tiga mata yang diraih amat mustahak untuk kita meneruskan saingan dalam pusingan kelayakan ini. Kita berjaya mendahului 3-0 pada babak pertama namun pemain leka dan akhirnya dihukum menerusi serangan pantas Taiwan. “Pada separuh masa kedua, kita boleh menambah jaringan namun tiga percubaan terkena palang.

 Saya harap semua pemain memperbaiki kelemahan kerana selepas ini kita akan berdepan perlawanan lebih sukar menentang Vietnam,” katanya yang dihubungi Arena Metro di Yangon semalam. Mengulas prestasi Rozaimi yang mencuri tumpuan menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol setakat ini, Kim Swee berkata, pemain itu tidak boleh cepat berpuas hati kerana kemampuannya akan lebih teruji selepas ini.

 “Rozaimi memiliki penyudah baik namun saya juga harus memuji pemain lain yang turut berusaha keras memastikan kemenangan hari ini (semalam). Memang Rozaimi semakin yakin dalam permainan namun dia perlu bersedia kerana baki perlawanan dengan Vietnam dan Myanmar selepas ini lebih sukar,” katanya.

 Malaysia kini berada pada landasan terbaik untuk mencuri salah satu slot daripada dua tiket Kumpulan G ke final Piala Asia tahun depan selepas mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Filipina dan Taiwan biarpun tewas di tangan Korea Selatan pada perlawanan pertama. Skuad negara tidak mempunyai rehat yang panjang apabila hanya berehat sehari sebelum menentang Vietnam esok dan Myanmar 3 Julai ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...