Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Tuesday, June 19, 2012

Justin 'direhatkan'

Kosmo! Online
Oleh MUSTAPA LAKAWA
 mustapa.lakawa@kosmo.com.my

KEKALAHAN memalukan 0-9 Sabah kepada Lions XII pada aksi Liga Super, Sabtu lalu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal oleh ketua jurulatihnya, Justin Ganai. Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) telah mengambil keputusan untuk ‘merehatkan’ pengendali berusia 56 tahun itu daripada melatih skuad SabaHawks.

 Tindakan itu dibuat hanya dua hari selepas Sabah tewas 0-9 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar, sekali gus menyaksikan skuad dari ‘Negeri Di Bawah Bayu’ itu terus menghuni kelompok pasukan terbawah. Menurut sumber, Justin telah dimaklumkan mengenai keputusan itu, namun masih belum menerima surat rasmi daripada SAFA.

 “Tugas membimbing pasukan Sabah kini diambil alih penolong jurulatih, Andrew Manjanggim. “Justin pula direhatkan serta-merta bagi satu tempoh yang belum ditetapkan oleh persatuan,” menurut sumber berkenaan. Ini bermakna, Andrew bakal memikul tugas pertamanya sebagai jurulatih utama Sabah apabila skuad SabaHawks itu melayan kunjungan Selangor PKNS di Stadium Likas malam ini.

 Untuk rekod, Sabah yang pernah muncul naib juara Piala Malaysia sebanyak tiga kali kini menduduki tangga ke-11 liga dengan hanya mengutip 19 mata daripada 18 perlawanan. Kekalahan di Jalan Besar, Sabtu lalu juga merupakan kekalahan ketiga berturut-turut yang dialami Sabah, dan kekalahan ketujuh musim ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...