Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Monday, June 18, 2012

Bukan faktor rasuah

Kosmo! Online
Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB 
yunus.yakkub@kosmo.com.my

LUKA ‘dikerjakan’ Lions XII 0-9 dalam aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin sememangnya cukup parah buat peminat Sabah. Apa tidaknya, ia merupakan rentetan kekalahan ketiga berturut-turut buat Sabah selepas dibenam oleh pasukan Sarawak 1-0 dan T-Team 2-1 sebelum ini.

 Lebih mengecewakan, ia merupakan kekalahan terburuk dalam sejarah bola sepak pasukan yang turut dikenali sebagai Sabahawks sehingga timbul spekulasi terdapat unsur rasuah dalam perlawanan itu, namun ia segera disangkal jurulatihnya, Justin Ganai. Menurut Justin, faktor kecederaan yang membelenggu beberapa pemain utama dilihat sebagai punca utama kepada episod sedih tersebut.

 Jelasnya, antara pemain yang mengalami kecederaan termasuklah kapten pasukan, Mohd. Reithaudin Awang Emran dan tiga tonggak tengah, Mohd. Fariss Azlan Mat Isa, Sumardi Hajalan dan Zuraindey Jumai. “Kalah besar bukan bermakna ada unsur rasuah, sebaliknya kami sendiri tempang sebelum perlawanan apabila kehilangan beberapa pemain yang tercedera.

 “Sumardi sendiri terpaksa dikeluarkan setelah 17 minit beraksi akibat kecederaan buku lali, selain penyerang utama, Bobby Gonzales yang baru pulih daripada kecederaan lamanya,” kata Justin kepada Kosmo! semalam. Sabahawks kini menduduki tangga ke-11 Liga Super apabila sekadar mengutip 19 mata selepas 18 perlawanan.

 Enggan menjadikan itu sebagai alasan, Justin tetap menghormati Lions XII yang disifatkannya sebagai sebuah pasukan hebat. Ketika mengulas mengenai pertemuan menentang PKNS di laman sendiri malam esok, Gustin menggesa pemainnya agar bangkit daripada kekecewaan dengan menunjukkan semangat juang yang tinggi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...