Sinar Harian
BAGAIKAN mimpi!. Pengendali Sabah, Justin Ganai tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila mengesahkan kunjungan Queens Park Rangers (QPR) dalam Jelajah Pra-musim pada 18 Julai nanti.
Seakan tidak percaya Pengerusi kelab QPR, Tan Sri Tony Fernandes memilih Sabahawks sebagai destinasi Jelajah Asia selepas Thailand, Justin menyifatkan perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebagai satu penghargaan buat seluruh rakyat Negeri Di Bawah Bayu.
"Setiausaha Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) semalam (Khamis) telah mengadakan perbincangan selepas menerima surat tawaran daripada Kelab QPR dan kami sudahpun menerima tawaran tersebut secara lisan.
"Seluruh rakyat Sabah juga turut berterima kasih kepada Tony Fernandes serta tidak sabar untuk menanti kunjungan mereka.
Malah saya juga juga sudah menerima beberapa tempahan tiket daripada penyokong tempatan meskipun harganya belum ditentukan," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Tidak menyasarkan sebarang kemenangan berikutan sedar jurang dengan pelawat sangat besar, Justin bagaimanapun mahu menggunakan peluang keemasan beraksi dengan pasukan yang berada di tangga ke-17 EPL itu untuk menimba pengalaman dan juga mempelajari corak permainan anak buah Mark Hughes itu.
Sabah pernah menerima kunjungan kelab gergasi EPL, Manchester United pada tahun 1980 dalam satu perlawanan persahabatan. Perlawanan tersebut menyaksikan United menewaskan pilihan Sabah dengan jaringan 0-2.