Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Monday, April 16, 2012

Ejekan iringi kekalahan Sabahawks

myMetro
Oleh Erdie Ab Wahid (hmkk@hmetro.com.my)

EJEKAN penyokong sendiri mengiringi kekalahan skuad Sabahawks apabila kecundang di tangan Perak 3-1 dalam aksi penutup pusingan pertama Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, kelmarin. 
Rata-rata penyokong pasukan negeri itu kecewa dengan aksi hambar pasukan mereka meskipun mendahului pasukan pelawat seawal minit pertama apabila Zainizam Marjan menanduk mudah menewaskan Mohd Nasril Nourdin yang terkeluar daripada posisinya.

Namun, kegembiraan penyokong tidak bertahan lama dan berakhir pada minit ke-65 apabila penyerang Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli merembat deras menewaskan penjaga gol tuan rumah, Syed Adney Syed Hussein, bagi menyamakan kedudukan.
Keadaan mula parah dua minit selepas itu apabila kegopohan di kotak penalti menyaksikan pemain tuan rumah, Mafry Balang tertolak bola ke gawang sendiri hingga menyebabkan pasukan pelawat selesa mendahului pada minit ke-67.

 Sabah akhirnya terpaksa akur tewas dua kali berturut-turut di laman sendiri sebaik penyerang import Perak, Lazar Popovic melepaskan rembatan kencang menewaskan Syed Adney untuk kali ketiga dan membawa pulang mata penuh. Kecewa dengan keputusan itu, pengendali Sabahawks, Justin Ganai bingkas bangun meninggalkan padang sejurus wisel penamat dibunyikan.
Difahamkan, jurulatih Sabahawks itu terlalu kecewa dengan kegagalan anak buahnya mempamerkan aksi cemerlang di laman sendiri. Keadaan diburukkan lagi apabila segelintir penyokong Sabahawks meluahkan rasa tidak puas hati dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pemain dan pengurusan pasukan Sabah termasuk enggan meninggalkan tempat duduk walaupun perlawanan sudah berakhir.

Sabah akan bertemu Perak dalam perlawanan pembukaan pusingan kedua di Stadium Perak, esok.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...