myMetro
Oleh Erdie Ab Wahid (hmkk@hmetro.com.my)
STRATEGI diatur ketua jurulatih Sabah, Justin Ganai bagi menentang Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Raman, Paroi, malam ini, terjejas akibat kehilangan khidmat beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan.
Namun, Justin enggan mendedahkan senarai pemain yang mungkin tidak dapat diturunkan tetapi menegaskan skuad bimbingannya tidak akan menyerah kalah dan akan mempamerkan aksi cemerlang di tempat lawan.
“Kami akan mengharungi laluan sukar menentang Negeri Sembilan kerana beberapa tonggak utama mengalami kecederaan.
“Namun saya pasti, semua pemain akan bermain sebagai satu pasukan untuk memungut tiga mata penuh selepas berjaya mencuri satu mata ketika menentang Selangor Sabtu lalu,” katanya.
Katanya, Sabah mampu mengatasi masalah dihadapi kerana memiliki simpanan pemain yang mampu mengisi kekosongan sekiranya pemain utama mengalami kecederaan.
Justin berkata, pertemuan dua pasukan itu dijangka sengit walaupun rekod pertemuan di stadium sama tahun lalu memihak kepada Negeri Sembilan yang mencatat kemenangan 1-0.
“Kita yakin mampu memberi tentangan hebat dalam perlawanan kali ini berikutan hanya tewas tipis tahun lalu,” katanya.
Sabah kini di tangga kesembilan dengan 14 mata hasil tiga kemenangan, lima seri dan tewas tiga.