Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Wednesday, November 12, 2008

Bobby, Wing Hong to DPMM

Ketua pasukan kebangsaan Mohd Shukor Adan akan mewakili pasukan Brunei Duli Pengiran Muda Mahkota (Brunei DPMM) pada saingan bola sepak Liga Super musim depan.

Perkara itu disahkan oleh pengurus pasukan Brunei DPMM, Pengiran Muhd Waslimin Pengiran Abdul Momin kepada Bernama setelah kata sepakat dicapai antara kedua-dua pihak pada awal bulan ini.

"Malah kita juga telah menandatangani dua bekas pemain pasukan Malaysia iaitu Bobby Gonzalez dari Sabah dan pemain pertahanan, Chan Wing Hoong yang bermain untuk Perak musim lepas," katanya.

"Shukor akan menandatangani kontrak dengan Brunei DPMM dalam masa terdekat setelah selesai tugasannya dengan skuad kebangsaan Malaysia di Myanmar," katanya, Selasa.


Muhd Waslimin memberitahu pemilihan Shukor,yang menjadi buruan mereka sejak bulan lepas, adalah berdasarkan pengalaman dan mutu permainan yang ditunjukkan oleh pemain berusia 29 tahun itu.


Sebelum ini, pasukan Brunei DPMM cuba memikat pemain kebangsaan Indra Putra Mahayuddin dengan tawaran gaji yang lumayan tetapi bekas pemain Selangor itu memilih untuk menyarung jersi Kelantan.

Muhd Waslimin berkata pasukannya itu meletakkan sasaran lima tempat teratas pada musim depan yang bermula Januari ini selepas hanya menduduki tangga ke-10 daripada 13 pasukan musim lalu.

Pasukan negara kini menyertai Kejohanan Piala Cabaran Grand Royal Ketiga di Yangon, Myanmar, mulai hari ini hingga 21 Nov ini.

Skuad bimbingan B. Sathianathan itu diletakkan dalam Kumpulan A bersama Ulsa Hondai Club dari Korea Selatan dan skuad bawah 22 tahun Vietnam manakala Myanmar, Indonesia dan Bangladesh membarisi Kumpulan B.

Kejohanan itu merupakan persiapan Malaysia menjelang Piala Suzuki AFF di Bangkok, Thailand dan Jakarta, Indonesia, dari 5 hingga 28 Dis ini.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...