Sumber: https://www.malaysianfootballleague.com/articles/irfan-fazail-mahu-kembali-bersinar/
Setelah sekian lama tenggelam di pentas Liga Malaysia, pemain tengah, Irfan Fazail, berharap penghijrahan ke Sabah FC pada musim 2022 akan membuka lembaran baharu dalam kariernya.
Jelas Irfan, dia sudah memasang matlamat tersendiri apabila kembali bergabung dengan bekas jurulatihnya di Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee iaitu individu yang bertanggungjawab menaikkan namanya semasa di awal pembabitan karier sebagai pemain bola sepak.
Selepas dilanda pelbagai kecederaan dalam beberapa musim ini, Irfan berharap dia sudah mampu bersedia dari segi fizikal dan mental bagi membantu Sabah yang jelas bercita-cita tinggi dalam saingan Liga Malaysia 2022.
“JDT II (Johor Darul Ta’zim II) musim depan merancang mahu menggunakan seberapa ramai pemain muda dan pengurusan beritahu yang mereka terbuka jika saya bersama pasukan lain secara pinjaman.
“Jadi, saya rasa ini masa yang sesuai untuk berhijrah dan terus hubungi Datuk Ong jika ada peluang, segalanya berjalan lancar dan beliau berminat mahu mendapatkan saya.
“Ditambah dengan kehadiran ramai pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali, saya rasa Sabah sangat serius untuk berikan cabaran pada musim depan.
“Kehadiran Datuk Ong juga salah satu faktor untuk saya memilih bersama Sabah kerana kami pernah bekerja bersama-sama pada waktu dahulu,” katanya.
Irfan merupakan bekas ketua pasukan bawah 23 tahun dengan pencapaian terbaiknya ialah pernah membawa pasukan negara mara ke pusingan akhir kelayakan ke Sukan Olimpik 2012.
Selain itu, dia juga menjadi sebahagian dari skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dengan menewaskan tuan rumah, Indonesia pada pentas final.
Dia pernah dipinjamkan ke kelab Slovakia, FC Vion bersama Wan Zack Haikal dan Fadhli Shas pada tahun 2011 untuk tujuan pendedahan.
Namun selepas bersama JDT dari 2014, tuah tidak bersamanya apabila tiga kali mendapat kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament) iaitu pada 2014, 2016 dan 2018.
Situasi itu sedikit sebanyak membantutkan perkembangan karier Irfan yang banyak diletakkan di JDT II sejak dari 2015 sehinggalah musim ini.
“Kecederaan-kecederaan yang saya alami sebelum ini memang tidak boleh hendak elak dan bermula sekarang, saya kena bekerja keras serta mahu kuatkan semangat saya bagi menyiapkan diri bermain di Liga Super, satu tahap yang jauh berbeza dari Liga Premier.
“Selepas saya sudah menyertai Sabah, sudah tentu matlamat pertama sekali mahu dapatkan tempat bermain dalam pasukan utama serta mahu mendapatkan kembali keyakinan.
“Manalah tahu jika saya beraksi baik dengan Sabah, secara tidak langsung akan buka rezeki saya balik dipanggil bermain dalam pasukan kebangsaan.
“Saya berjanji akan berusaha sedaya upaya, bukan sahaja untuk membantu pasukan tetapi menaikkan kembali karier selaku pemain bola sepak profesional,” katanya.