Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Thursday, November 01, 2012

Rozaimi dalam dilema

myMetro

PEMAIN berbakat, Rozaimi Abd Rahman berdepan dilema mengenai masa depannya apabila terpaksa membuat pilihan sama ada mahu terus kekal bersama pasukan Liga Perdana, Sabah atau menerima tawaran menyertai skuad Harimau Muda A. Ketika hatinya berat untuk meninggalkan negeri kelahirannya itu, dia juga seakan sukar untuk menolak tawaran jurulatih, Ong Kim Swee yang mahu memantapkan pasukan Harimau Muda A bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Myanmar tahun depan.

 “Saya masih belum puas bermain dengan Sabah, saya masih mahu menyumbang sesuatu dengan pasukan negeri kelahiran saya. Tapi dalam masa yang sama khidmat saya juga diperlukan oleh negara. “Harimau Muda A akan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Sea dan peluang saya mencari pengalaman juga luas kerana pasukan itu akan mengadakan latihan dan perlawanan di luar negara.

Sememangnya saya mahu mewakili negara pada Sukan Sea tahun depan,” katanya yang ditemui pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 baru-baru ini. Pemain berusia 20 tahun itu yang menerima anugerah pemain harapan atas aksi cemerlangnya menjadi penjaring terbanyak dengan 10 gol pada Kejohanan Kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun Jun lalu mengesahkan sudah mendapat tawaran secara lisan daripada Kim Swee.

 “Jurulatih Ong Kim Swee sudah menghubungi saya mengenai perkara ini dan mungkin juga FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) juga sudah berbincang dengan pihak persatuan. “Saya menandatangani kontrak baru September lalu untuk kekal bersama Sabah sehingga 2014 tapi pihak persatuan menyerahkan kepada saya untuk membuat keputusan.

Saya akan berbincang dulu sebelum membuat keputusan dalam tempoh terdekat ini,” kata pemain tengah menyerang yang terkenal dengan gaya rambut ala bintang Brazil, Neymar. Selain Rozaimi, Kim Swee juga sedang mengintai untuk membawa masuk pemain pertahanan Terengganu Zubir Azmi, Ashri Chuchu (Sarawak) dan Mohd Azrif Nasrulhaq (Selangor PKNS) bagi musim kedua Liga Singapura dan persediaan Sukan Sea tahun depan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...