MOHD Rozaimi Abdul Rahman, yang dinobatkan sebagai Pemain Harapan Terbaik berkata kemenangannya hari ini sebenarnya kejayaan rakan seperjuangannya, Nik Mohd Shahrul Azim Halim, pemain Kelantan yang turut tercalon bagi kategori yang sama. Rozaimi, 20, langsung tidak menjangka akan meraih Anugerah Pemain Harapan Terbaik tahun ini kerana dua lagi calon juga mempunyai kehebatan masing-masing.
"Jujur saya langsung tidak sangka akan dapat anugerah ini," katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-FAM 2012 kali ke-6 di Shah Alam, hari ini. Menurut Rozaimi, kriteria yang dinilai oleh pihak penganjur mungkin berdasarkan tahap kejayaan yang dikecapi selama ini.
"Mungkin mereka memilih saya kerana saya telah menjadi penjaring terbanyak di Asia Cup lalu," katanya. Mengenai pasukan mana yang bakal disertai musim depan, Rozaimi masih belum mendapat keputusan rasmi. "Untuk musim depan, mungkin saya akan sertai Harimau Muda dan mungkin bermain untuk pasukan Sabah, saya masih belum pasti lagi," jelasnya.
Dua lagi pemain yang tercalon bagi Anugerah Pemain Harapan Terbaik adalah Nik Mohd Shahrul Azim Halim dari pasukan Kelantan dan Ashri Chu Chu dari pasukan Sarawak.