Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Monday, July 16, 2012

Rajagobal: Rozaimi pertajamkan jentera serangan skuad kebangsaan

Bernama

PETALING JAYA - Ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa beliau memilih penyerang Sabah Rozaimi Abdul Rahman menyertai sesi latihan skuad negara kerana lebih mengutamakan muka baru. Beliau berkata penjaring terbanyak Kejohanan Kelayakan Piala AFC B-22 di Myanmar baru-baru ini dengan 10 gol itu, dipanggil untuk mempertajamkan jentera serangan skuad kebangsaan yang dilihat agak tumpul ketika ini.

 "Rozaimi pernah bermain dengan pasukan kebangsaan ketika menentang Sri Lanka (di Stadium Shah Alam tahun ini), jadi tidak timbul isu menyatakan saya mengutamakan muka baru kerana saya mahu beliau membantu mempertajamkan jentera skuad kebangsaan dalam persediaan menghadapi beberapa perlawanan persahabatan," katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad bola sepak kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, hari ini. Seramai 22 daripada 27 pemain yang dipanggil Rajagobal melaporkan diri, dengan empat yang tidak hadir itu, terlibat dengan perlawanan play-off Liga Super dan Perdana yang akan berlangsung esok sehingga Khamis ini di Melaka.

 Rajagobal berkata penyerang prolifik negara Mohd Safee Sali yang bermain dengan kelab Pelita Jaya di Indonesia dijangka melaporkan diri esok. Skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Arsenal FC pada 24 Julai dan Manchester City pada 30 Julai.

 Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan bermula pukul 9.45 malam. Skuad itu kemudian akan menjalani latihan di Eropah dari 4 hingga 16 Ogos sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Suzuki yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand dan Kuala Lumpur dari 24 Nov hingga 22 Dis depan.

 "Untuk dua perlawanan persahabatan tersebut, saya tidak terlalu mengharapkan kemenangan kerana saya mahu melihat peningkatan dari segi corak permainan sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki November ini. Itu yang lebih penting," kata Rajagobal. Skuad Harimau Malaya berdepan laluan getir mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2010 di Indonesia selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Singapura dalam saingan Piala AFF Suzuki.

 Turut disenaraikan dalam kumpulan itu ialah naib juara pusingan kelayakan yang akan diketahui pada 13 Okt ini. Pusingan kelayakan kejohanan itu akan berlangsung dari 5 hingga 13 Okt di Myanmar dengan format kalah mati melibatkan pasukan Brunei, Kemboja, Laos, Timor Leste dan tuan rumah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...