Kosmo! Online
Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my
KEYAKINAN tinggi dilaungkan Sabah yang tekad memburu tiga mata penuh apabila bertandang ke Stadium Negeri, Kuching bagi menghadapi Sarawak pada aksi Liga Super malam ini.
Dengan rekod bersih menentang skuad Bujang Senang, termasuk kemenangan 2-1 di Likas pada awal musim ini, pengendali Sabah, Justin Ganai turut memasang impian untuk menambah derita pasukan jiran mereka itu.
Malah katanya, kemenangan di Kuching malam ini begitu penting dalam misi skuad Badak untuk memburu slot dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super musim ini.
"Kami sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi perlawanan ini. Saya akui, Sarawak merupakan sebuah pasukan yang baik tetapi saya tetap percaya kepada kemampuan pemain yang ada.
"Lagipun, menentang Sarawak merupakan satu perlawanan yang cukup klasik bagi Sabah memandangkan ia adalah satu pertembungan melibatkan dua pasukan dari Borneo," katanya kepada Kosmo! semalam.
Apa yang pasti, kelebihan moral kini memihak kepada Sabah apabila Sarawak terpaksa bermain tanpa penonton pada perlawanan malam ini ekoran hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) baru-baru ini.
"Kami mesti menggunakan segala kelebihan yang ada untuk meraih kemenangan tetapi itu tidak bermakna Sarawak akan memberi laluan mudah kepada kami kerana mereka juga begitu memerlukan kemenangan.
"Saya menjangkakan perlawanan malam esok (malam ini) pasti sengit dan mana-mana pasukan yang bermain baik pasti memperoleh kemenangan," ujarnya.
Untuk rekod, Sabah dan Sarawak kini berkongsi 19 mata dengan kelebihan memihak kepada Sarawak untuk berada di tangga kelapan berdasarkan kelebihan jaringan.
Sabah pula kekal di tangga kesembilan selepas melalui 15 perlawanan, iaitu hanya dua mata di hadapan pasukan tangga ke-10, PKNS Selangor.
"Persaingan masih panjang lagi dan mana-mana pasukan mempunyai peluang sama rata untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik," katanya.
Sebagai percaturan, Justin bakal mempertaruhkan bintang import baharu dari Jerman, Hendrik Helmke untuk memperkuatkan barisan tengah Sang Badak, manakala jentera serangan bakal dikemudi penyerang berpengalaman, Zainizam Marjan.
"Saya juga sedia menurunkan Rozaimi Abdul Rahman sama ada di bahagian tengah ataupun penyerang bagi membantu Sabah mencari gol," jelasnya.