Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Saturday, November 15, 2008

'Taufan' landa Sabah



Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

ANGIN di bawah bayu bertukar 'taufan'.
Itu yang dialami skuad Sabah menjelang saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) musim 2009.

Persediaan mereka terencat ekoran beberapa masalah yang mereka hadapi ketika tengah berusaha keras membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk menghadapi cabaran musim baru yang dijadualkan membuka tirainya pada Januari depan.

Semuanya gara-gara tindakan beberapa tonggak utama skuad Badak itu yang membuat keputusan untuk mencuba nasib bersama pasukan lain.

Antara yang bakal meninggalkan Sabah ialah bekas pemain kebangsaan, Wong Sai Kong yang disahkan bakal menyarung jersi Sarawak pada musim depan.

Turut meninggalkan skuad Negeri di Bawah Bayu itu ialah penyerang tempatan, Bobby Gonzalez yang telah pun menandatangani kontrak bersama pasukan Brunei DPMM.

"Wong Sai Kong akan menyertai pasukan Sarawak kerana isterinya berasal dari negeri berkenaan," jelas pengurus Sabah, Rahman Zakaria semalam.

"Bobby pula mahu mencuba nasib bersama pasukan lain dan dia bersetuju dengan tawaran yang ditawarkan oleh Brunei."

Sementara itu, Rahman juga mengesahkan bahawa Ahmad Tharmini Saiban, Munir Amran, Hishamuddin Othman, Chow Chee Wing dan Mohd. Nafuzi Zain juga akan meninggalkan skuad Sabah.

"Pemergian pemain-pemain ini bermakna Sabah kini hanya memiliki pemain tempatan sahaja.

"Ia juga bermakna pasukan Sabah bakal menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya pada kempen Liga Malaysia musim 2009," tambahnya.

Menurut Rahman, Ahmad Tharmini yang juga bekas pertahanan Selangor bakal menyertai pasukan Johor Pasir Gudang ataupun Johor FC.

"Munir dan Chee Wing akan menyarung jersi Felda United sementara Hishamuddin kembali ke Kuala Lumpur dan Nafuzi menyertai pasukan Kelantan.

"Sementara itu, Chan Wing Hong yang sebelum ini dilaporkan bakal menyertai Sabah memutuskan untuk beraksi bersama Brunei."

Dengan ketiadaan beberapa tonggak utama itu, Sabah bakal mempertaruhkan nama-nama seperti Rosdin Wasli, Zainizam Marjan, Mohd. Radzi Hussin, Zulamri Muhammad, Azrul Ejati Damsah, Henry Parsi dan Hardy Charles Parsi pada kempen musim depan.

Turut tersenarai dalam skuad yang bakal dibimbing bekas pemain Sabah, Burhan Ajui itu ialah Zuraindey Jumai dan tiga penjaga gol, Irwan Jamil, Harold John serta Mohd. Salawi Jasa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...