Sabah Football Fan blog with news, schedule, result, statistic , records and more.

Thursday, November 18, 2021

SABAH FC BURU GOL AWAL

Sumber: MFL


Sebaik wisel ditiupkan di Stadium Hang Jebat malam ini, matlamat utama ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee adalah mahu pemain-pemainnya cuba mendapatkan jaringan awal.

Menyedari ketinggalan satu gol berdasarkan kedudukan agregat, beliau menyedari jaringan awal boleh meletakkan kembali Sabah dalam kedudukan seimbang ke separuh akhir TM Piala Malaysia 2021.

Tambahnya, dalam bola sepak tiada apa yang mustahil dan Kim Swee percaya Sabah masih mampu melakukan kebangkitan biarpun di atas kertas, Melaka United FC sedang melalui prestasi terbaik di pentas TM Piala Malaysia apabila belum tewas dalam semua perlawanan yang dilalui.

“Kita tewas pada suku akhir pertama namun segalanya belum berakhir kerana apa-apa boleh berlaku, saya percaya jika dapat lakukan percaturan yang betul, kita dapat mengejutkan Melaka di tempat sendiri nanti.

“Perancangan utama kita sudah tentu mahu mendapatkan gol (di suku akhir kedua), dan sekiranya itu terjadi, satu gol itu dapat beri tekanan kepada lawan.

“Melaka pasti akan menukar corak permainan kita namun dalam masa kita tidak boleh terburu-buru apabila berdepan situasi sebegitu,” katanya.

Sabah gagal mendapatkan sebarang bekalan di Stadium Likas apabila tewas tipis 0-1 kepada jaringan tunggal Sony Norde pada minit ke-52, Ahad lalu.

Sementara itu, Kim Swee memuji kelibat beberapa pemain muda Sabah yang semakin menunjukkan peningkatan bersama pasukan setelah diberi ruang beraksi di pentas TM Piala Malaysia 2021.

Beliau percaya mereka mampu menjadi tunjang kekuatan pasukan pada masa akan datang namun akui mereka perlukan pengalaman untuk menjadi pemain yang lebih matang.

“Satu perkara positif mengenai persembahan Sabah di suku akhir pertama ialah pemain-pemain muda yang kita turunkan seperti Gerald Gadit, Hanafie Tokyo dan Sahrizan Saidin, menunjukkan mereka ada kualiti serta boleh bersaing.

“Saya tidak lihat pemain muda ini kegugupan cuma apa membezakan mereka dengan Melaka ialah aspek pengalaman dalam menghadapi situasi-situasi tertentu.

“Dalam perlawanan, pemain kena cepat berfikir dan dalam beberapa perkara, mereka mungkin terlewat untuk buat keputusan dan ini aspek pengalaman yang saya mahu perkatakan.

“Namun, mereka semua bakal menjadi pemain penting dalam Sabah pada masa akan datang dan harap mereka akan kekal positif pada suku akhir kedua di Melaka,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...