Source: MFL
KURNIAWAN TERIMA KEPUTUSAN DENGAN HATI TERBUKA
Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menerima dengan hati terbuka keputusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak meluluskan permohonan laluan khas pasukan untuk menghadapi perlawanan CIMB Liga Super menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.
Meskipun mengakui sedikit sedih dengan keputusan MKN itu, selepas semua pemain sudah bersedia dan tidak sabar untuk ke Melaka bagi aksi terakhir liga serta mempersiapkan diri bagi mengharungi TM Piala Malaysia namun Kurniawan menganggap nasib tidak menyebelahi pasukan mereka.
Beliau percaya keputusan yang dibuat oleh MKN ini adalah demi mengutamakan keselamatan semua pihak susulan penularan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan khususnya di Sabah ketika ini.
“Tentulah keputusan ini masih mengejutkan kami semua tetapi saya bersama pemain memahami hal ini kerana semestinya kita harus tetap mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh MKN dan pihak kerajaan, jadi sebagai warganegara yang prihatin, kami menerima keputusan ini.
“Menurut saya, apabila MKN mengeluarkan arahan ini yang tidak membenarkan kami ke Semenanjung, pastinya mereka ada alasan tersendiri dan semestinya ini adalah demi menjaga keselamatan lebih banyak orang, jadi kami ikhlas menuruti arahan yang telah dikeluarkan itu.
“Apa-apa pun ini tidak akan melunturkan semangat kami untuk memastikan kami satu pasukan terus kuat bagi mengharungi musim 2021 nanti walaupun hakikatnya ketika ini, pastinya semua masih sedih kerana tidak dapat beraksi dan terpaksa melupakan aksi Piala Malaysia.
“Tetapi tidak mengapalah, yang penting adalah agar pandemik COVID-19 ini cepat berlalu dan saya mohon doa orang ramai agar keadaan lebih baik di sini”, jelasnya.
Melihat situasi ini, tiga mata diberikan kepada pasukan UiTM FC apabila perlawanan terbabit tidak akan berlangsung, Sabtu ini.
Selepas tidak mendapat lampu hijau daripada MKN, ini bermakna Sabah juga tidak akan terlibat dalam saingan TM Piala Malaysia selepas melihat tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari sekiranya mereka tiba di Semenanjung Malaysia pada 29 Oktober telah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama kejohanan tertua itu.
Walaubagaimanapun, Sabah tetap kekal sebagai pasukan Liga Super bagi musim 2021 dan tiada hukuman dikenakan kepada mereka berhubung isu ini.